Tuesday, December 8, 2009

~Merawat Keaiban~

Baru-baru ni sewaktu mengikuti program TOT dan KMK Wilayah Utara, seorang sahibah mengemukakan satu persoalan yang pada pandangan saya, ia mengingatkan kembali kepada sesetengah perkara yang kita mungkin terlupa.

Dalam kesibukan menguruskan program, belajar, dan sebagainya, mungkin kita terlupa untuk membaiki kelemahan - kelemahan yang menjadi darah daging kita sedari kecil.

Berbalik kepada soalan sahibah saya tadi, seorang ustaz menjawab pertanyaan kami.



"Dalam merawat keaiban, perlunya kita pada murabbi (orang yang kita rujuk)  mithali.

Kerana kita tidak mengetahui semua keaiban kita, di sinilah gunanya seorang murabbi untuk menegur dan mendidik kelemahan kita.

Ataupun, mungkin kita tahu akan keaiban kita, tetapi tidak mengetahui bagaimana hendak merawatnya.  Melalui murabbi yang kita thiqah (yakin akan kewibawaannya) inilah, kita bertanya tentang bagaimana kita perlu membaiki keaiban yang tertanam dalam diri kita."

Sambung ustaz lagi,



"Manhaj yang rabbani juga amat penting dalam rawatan kelemahan diri kita iaitu Quran dan hadith yang merupakan panduan terunggul ataupun sebagai 'medicine transcript' daripada Doktor yang paling mengetahui penyakit luar dan dalam diri kita.

Tapi, mungkin tidak cukup dengan hanya dengan membaca terjemahan quran memandangkan kita bukanlah dari golongan bangsa Arab, maka susulilah dengan tafsir- tafsir ulama' mu'tabar, seperti tafsir fi zilal, tafsir ibnu kathir dan juga karangan - karangan ulama' yang lain."




Dan yang terakhir, perlunya kita kepada biah yang solehah (suasana yang baik).

"Kerana hati yang sentiasa ditembak dengan panahan jahiliyah mungkin tidak mampu bertahan lama.  Oleh itu, jika kita tiada kekuatan untuk terus bertahan di tempat yang larut dengan suasana yang lagha, maka carilah suasana yang baik yang boleh meningkatkan keimanan kita."

Allahlah Perawat Terbaik kepada semua penyakit dan kelemahan diri kita. KepadaNya kita memohon hidayah dan taufiq untuk meningkatkan jiwa dan keimanan kita..

P/s: Ustaz ada lagi bagi tips-tips merawat keaiban ni.. Insya Allah saya akan kongsikan dengan kalian pada post akan datang.