Saturday, June 18, 2011

Keikhlasan Bekerja



Artikel yang sangat terkena dengan diriku. I.K.H.L.A.S!
 

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam
dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya
Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar
seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat
dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini
masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada
anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan
risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada
pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih
ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari
siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula
mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di
rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar
dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun
sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi,
mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil
keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya "Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini
yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk
pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap
anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu
lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa
pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi
lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini
setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf
saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah
yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu
dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang
hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi
hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini
dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat
kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada
selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang
berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah
yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang :)

Saturday, April 23, 2011

Selamat hari lahir sayang :D

Dalam banyak banyak manusia yang singgah dalam hidupku yang sementara ini, dialah yang terbaik. 
Sentiasa berkorban sehingga kadang kadang hatiku menangis terharu. Betapa besarnya jiwanya..
Walaupun aku sedar, kadang kadang aku banyak mengguris hatinya, namun dia sentiasa memaafkan dan sentiasa senyum dan tidak pernah jemu jemu menggembirakanku..

Aku selalu taajub dengan ketabahan dan kesabarannya..
Sentiasa positif dan bersangka baik biarpun aku tahu, hatinya terluka dan sedih.
Dalam senyumnya, terselit ketabahan yang tinggi.
Dalam redup matanya, tersingkap kesabaran yang tidak pernah padam dari hatinya..

Dia tidak pernah diam dari memberi nasihat dan sokongan kepadaku.
Kadang kadang aku rasakan, hatiku dan ingatanku sangat penuh dan padat dengan peringatan peringatan, nasihat nasihat yang berguna bagi seorang mukmin dan kisah kisah yang banyak menginsafkanku..
Dan ku tahu, dalam tahajudnya, doanya sentiasa megalir untukku yang jauh..

Kawan kawanku sentiasa mengusikku yang aku sentiasa rindu kepadanya, namun aku hanya tersenyum.. 
Kerana sesungguhnya aku sangat bersyukur kerana dikurniakan perasaan rindu yang mana ianya sentiasa membawaku semakin dekat kepadaNya :)

Akhir kalam, moga Allah sentiasa merahmatimu, ummiku sayang.
Moga Firdaus menjadi tempat kita berkumpul bersama selamanya ameen..

Friday, March 11, 2011

Obviously a sign!

Sewaktu baca buku Pita Kusut Tentang Hati, saya tersentuh dengan hadis mursal dengan sabdaNya yang berbunyi :

"Ibnu Abi Dun-ya menyebutkan hadis mursal: Bahawa bumi pernah bergoncang pada masa Rasulullah SAW, lalu beliau meletakkan tangannya di atas bumi itu dan bersabda, "Diamlah, sesungguhnya belum datang waktunya untukmu (bergoncang), nanti." Kemudian baginda menoleh kepada sahabatnya dan bersabda, "Sesungguhnya Rabb kalian meminta kalian supaya mencela diri kalian sendiri, maka celalah diri kalian sendiri." Kemudian bumi bergoncang pada masa 'Umar Al Khattab R.A, lalu beliau menyeru, "Wahai manusia, goncangan ini hanyalah kerana sesuatu yang telah kalian lakukan. Demi Rabb yang jiwaku berada di tanganNya, jika goncangan itu kembali berlaku lagi, maka aku tidak menempatkan kalian di dalamnya selamanya."

Ka'ab berkata, "Bumi bergoncang hanyalah jika maksiat berlaku di dalamnya, lalu dia gementar takut kepada Rabbnya bila Dia melihat kepadanya.."1

Bumi bergetar kerana penghuninya tidak segan silu melakukan maksiat dan lalai daripadaNya. Bagaimanakah dengan kita?

Ayuh, sedarlah! Hisablah dan perbaikilah diri selagi berpeluang. Tidak selamanya kita di dunia ini. Apalagi yang melengahkan kita? 

Sesungguhnya setiap yang berlaku kepada sentiasa membawa mesej yang halus dariNya, seperti kata kata seorang sahabat saya:

Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud tertentu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian samada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita mula melatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam, hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu.

Moga Allah sudi mengampunkan kita dan mengurniakan rahmat dari sisiNya kepada kita. 
p/s: Doa dan sabar adalah senjata kita. Bersangka baiklah denganNya. :)

1. Hadis sahih, diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dun-ya dalam Dzammul Malahi, dari Anas R.A. Sahihul Jami' (no.5467)