Tuesday, December 8, 2009

~Merawat Keaiban~

Baru-baru ni sewaktu mengikuti program TOT dan KMK Wilayah Utara, seorang sahibah mengemukakan satu persoalan yang pada pandangan saya, ia mengingatkan kembali kepada sesetengah perkara yang kita mungkin terlupa.

Dalam kesibukan menguruskan program, belajar, dan sebagainya, mungkin kita terlupa untuk membaiki kelemahan - kelemahan yang menjadi darah daging kita sedari kecil.

Berbalik kepada soalan sahibah saya tadi, seorang ustaz menjawab pertanyaan kami.



"Dalam merawat keaiban, perlunya kita pada murabbi (orang yang kita rujuk)  mithali.

Kerana kita tidak mengetahui semua keaiban kita, di sinilah gunanya seorang murabbi untuk menegur dan mendidik kelemahan kita.

Ataupun, mungkin kita tahu akan keaiban kita, tetapi tidak mengetahui bagaimana hendak merawatnya.  Melalui murabbi yang kita thiqah (yakin akan kewibawaannya) inilah, kita bertanya tentang bagaimana kita perlu membaiki keaiban yang tertanam dalam diri kita."

Sambung ustaz lagi,



"Manhaj yang rabbani juga amat penting dalam rawatan kelemahan diri kita iaitu Quran dan hadith yang merupakan panduan terunggul ataupun sebagai 'medicine transcript' daripada Doktor yang paling mengetahui penyakit luar dan dalam diri kita.

Tapi, mungkin tidak cukup dengan hanya dengan membaca terjemahan quran memandangkan kita bukanlah dari golongan bangsa Arab, maka susulilah dengan tafsir- tafsir ulama' mu'tabar, seperti tafsir fi zilal, tafsir ibnu kathir dan juga karangan - karangan ulama' yang lain."




Dan yang terakhir, perlunya kita kepada biah yang solehah (suasana yang baik).

"Kerana hati yang sentiasa ditembak dengan panahan jahiliyah mungkin tidak mampu bertahan lama.  Oleh itu, jika kita tiada kekuatan untuk terus bertahan di tempat yang larut dengan suasana yang lagha, maka carilah suasana yang baik yang boleh meningkatkan keimanan kita."

Allahlah Perawat Terbaik kepada semua penyakit dan kelemahan diri kita. KepadaNya kita memohon hidayah dan taufiq untuk meningkatkan jiwa dan keimanan kita..

P/s: Ustaz ada lagi bagi tips-tips merawat keaiban ni.. Insya Allah saya akan kongsikan dengan kalian pada post akan datang.



Sunday, November 15, 2009

.::Segeralah berbuat kebaikan::.

Hisyam bin Ammar pernah meriwayatkan sebuah kisah dari Rabi' bin Kharrasy al-Abasy. Rabi' menceritakan, " Suatu hari adikku Ar-Rabi' bin Kharrasy sakit tenat.  Aku lalu menziarahinya.  Tidak lama selepas itu, dia meninggal dunia.  Lalu kami bergegas menguruskan jenazahnya.

allahuakbar


Ketika aku membuka penutup wajahnya, tiba-tiba jenazah adikku berkata "Assalamualaikum..."

Kami tersentak dan terkejut, lalu kami menjawab, "Waalaikumussalam.."

Kemudian aku bertanya, " Adikku, bukankah kamu telah meninggal dunia?"

"Ya, memang aku telah meninggal dunia.  Baru sahaja aku bertemu dengan Allah.  Allah telah memberikanku wangian dan angin serta udara yang segar.

Allah tidak marah.  Aku jua diberi pakaian yang dibuat daripada sutera yang berwarna hijau.

frozen-heart


Lalu Aku memohon kepadaNya agar diizinkan untuk memberi khabar gembira ini kepada kalian, dan Allah pun mengizinkanku.

Kenikmatan dan kehidupan selepas hidup di dunia ini benar-benar wujud.

Oleh kerana itu, bergegaslah kalian untuk berbuat baik, dekatkan diri kepada Allah sedekat-dekatnya, bergembiralah dan jangan sesekali lari dari rahmatNya." kata adikku.

Kemudian dia meninggal dunia semula.

~Tercatat dalam buku Al-Ba'ts dan juga terdapat dalam tulisan Ibnu Abid Dunya di dalam kitabnya Man'asya Ba'dal Maut~

Wednesday, November 11, 2009

Hidayah ~ Hadiah teristimewa dariNya

Pagi tadi, pakcikku ada bercerita sedikit tentang musibah yang melanda saudara kita di Padang..  Alhamdulillah, Allah masih lagi memberi peluang keamanan, keselamatan dan kemakmuran kepada kita..

Setiap mehnah yang berlaku sebenarnya menghadiahi jutaan hikmah kepada diri kita..  Kerana Al-Khaliq itu Maha Tahu dan Maha Halus terhadap hamba-hambaNya..




[caption id="" align="aligncenter" width="417" caption="Padang"][/caption]

Balik semula kepada sedikit cerita pakcikku tadi, antara yang menyedihkan apabila bersama dengan salah seorang mangsa bencana ini, adalah apabila disebut tentang kekuasaan dan Rahimnya Allah ini, mereka membalas balik dengan berkata,

"Mana ada Tuhan, pak? Jika Dia ada, mengapa Dia bikin kita semua seperti ini?"

Mashaallah, begitu senang roh tauhid itu dicampak ke dalam hati manusia, maka dengan begitu mudah pula Allah mencabutnya dari jiwa kita..  Na'uzubillahiminzalik..

Bila mendengar cerita pakcikku ini, diri ini mula terfikir, sejauh manakah Aku menjaga hidayah yang diberikan olehNya kepadaku?

Tapi Aku bersyukur sekali, walaupun kadang - kadang Aku berlari meninggalkanNya, alpa dan lalai dariNya, tetapi Ar-Rahman tidak pernah sekali meninggalkan hambaNya ini..

Bila melakukan dosa, diberinya rasa bersalah dan ingin kembali kepadaNya..

Bila terlalu leka dengan kecantikan sementara dunia, disedarkan semula dengan embun kasih sayangNya..

Alhamdulillah, Allah masih sudi mengawasi diri ini setiap detik dan tidak pernah meninggalkan kita walaupun lebih singkat dari pantasnya kerdipan mata..

[caption id="" align="aligncenter" width="336" caption="Moga Allah memelihara kita"][/caption]

Namun benar, untuk mendapat hidayah Allah bukannya seperti magic, 'tink' ~ terus beriman..

Ia harus datang dengan usaha dan ikhtiar, berdoa dan munajat kepadaNya..

Tapi kita perlu ingat, hidayah itu bukan di tangan kita, tetapi berada dalam genggamanNya..

Seperti Abu Talib, orang yang sangat dikasihi Baginda SAW, beliau mati dalam keadaan kufur kepada Allah Taala..

Walaupun Nabi dengan terus menerus berbisik kalimah tauhid di telinga bapa saudara yang sangat dicintainya..

Namun Allah mahu menyedarkan kekasihNya bahawa Ya Muhammad, hidayah itu adalah di tanganKu, Aku yang berkuasa memberikan kepada sesiapa yang Aku kehendaki dan Aku berhak menariknya kembali..

Moga kita semua sentiasa berada di bawah pengawasanNya..  Sahabat, jagalah hidayah yang Allah hadiahkan kepada kita, kerana tidak semua orang dapat kelebihan ini.. Dan teruskanlah perjuangan kalian untuk meyebarkan hidayah ini kepada orang lain..

Moga kalian dirahmati sentiasa.. :)