Friday, July 1, 2011

Bryan Anderson dan Ar Raqib

Alhamdulillah, sudah 2 hari aku berada di kampung. Menziarahi atuk sebelah abah yang kurang sihat disebabkan jarinya yang terputus. Innalillah..

Dalam kesibukan melayan atuk, sempat lagi aku membelek belek majalah MIDI keluaran September 2009 yang ada di rumah atukku, dan sangat terkesan dengan sebuah kisah yang tercoret di dalamnya.

Kisah yang bagiku walaupun sangat simple, tapi sangat menyentuh hatiku.

~Bryan Anderson dan Ar Raqib~


Seorang wanita tua kelihatan berdiri di tepi jalan bersama kereta Mercedes dalam suasana menjelang senja, sejuk dan hujan gerimis. Seorang lelaki berkereta biasa lalu di jalan tersebut, ternampak wanita tua itu dan berhenti. Wanita tua itu menyedari kehadiran lelaki tersebut. Walaupun tersenyum, penampilan lelaki berkereta murah itu mencurigakan hatinya, dan kebimbangan menguasai perasaannya. Mungkin dia lelaki jahat. Mungkin dia perompak. Sudah beberapa jam dia tersadai di tepi jalan, dengan kereta Mercedesnya yang rosak, dan tiada sesiapa pun yang berhenti. Inilah orang pertama yang berhenti dan mendekatinya.

 Lelaki itu dapat membaca kecurigaan pada wajah wanita tua yang berdiri di tengah tengah kedinginan musim sejuk. Rasa simpati menyelubungi hatinya.

            "Saya yakin puan perlukan bantuan dan saya ingin membantu. Elok puan duduk di dalam kereta sebab di luar ni sangat sejuk sementara saya tengok apa yang tak kena dengan kereta ini. Nama saya Bryan Anderson."

Masalah wanita tua itu hanyalah tayar keretanya yang pancit, namun bagi seorang wanita tua, masalah tersebut bukanlah kecil. Bryan bertungkus lumus menukar tayar kereta Mercedes tersebut sehingga dingin musim sejuk ketika itu tidak begitu terasa. Tangannya terasa lenguh dan pakaiannya kotor. Sambil Bryan membaiki tayar, wanita tua itu sengaja membuka tingkap kereta dan bercerita.

          "Saya dari St Louis dan dalam perjalanan balik melalui jalan ini. Kalaulah awak tak tolong, tak tahulah apa jadi pada saya. Terima kasih sangat - sangat."

Bryan selesai menukar tayar dan hanya tersenyum mendengar celoteh wanita tua tersebut.

         "Berapa?"

Tanya wanita itu, kerana ingin membayar upah menukar tayar kereta mewahnya. Dia sangat bersyukur dan sanggup membayar berapa sahaja yang diminta oleh Bryan. Tidak bermakna wang ringgit berbanding dengan bantuan yang dihulurkan. Lebih lebih lagi keselamatan dirinya, seorang wanita tua yang tersadai di tepi jalan yang sunyi dalam suasana gelap dengan kereta mewahnya menggambarkan bahawa dia adalah seorang yang berada.

Bryan pula tidak terfikir apa apa melainkan ingin menghulurkan bantuan kepada manusia lain yang memerlukan. Baginya memberi bantuan dalam keadaan tersebut adalah tanggungjawab sesama insan, bukan sumber pendapatan. Tuhan telah menghantar ramai insan lain membantunya ketika dia memerlukan dan apa yang dilakukan hanyalah memperpanjangkan kebaktian yang telah banyak Tuhan berikan melalui insan lain.

            "Tak apa puan. Saya membantu ikhlas. Tapi kalau puan nak membayar juga... Yang saya minta ialah, perpanjangkanlah bantuan seperti ini bila puan berjumpa sesiapa yang perlukan bantuan.. Itu yang penting bagi saya..."

Bryan menunggu sehingga wanita itu selamat pergi dan hilang daripada pandangannya. Terasa sejuk tetapi kepuasan kerana dapat membantu wanita itu memenuhi hatinya sepanjang perjalanan balik ke rumahnya sendiri.

Wanita tua singgah di sebuah restoran kecil di stesen minyak tidak jauh dari tempat keretanya tersadai tadi. Seorang wanita pelayan restoran membawa tuala dan mengelap rambutnya yang basah semasa tayar keretanya pancit tadi. Senyuman pelayan itu kelihatan sangat tulus dan menyejukkan hatinya walaupun terasa agak janggal dengan layanan tersebut tetapi hatinya sangat terharu. Matanya terarah ke perut pelayan itu sedang mengandung sekitar lapan bulan. Hati wanita tua bertambah tersentuh kerana dalam keadaan sarat mengandung, pelayan tersebut tidak langsung menggambarkan keletihan, malah memberi khidmat yang luar biasa.

             "Macam mana seorang yang dalam keadaan ini boleh terfikir untuk memberi layanan terbaik kepada seorang asing yang langsung tidak dikenal..."

Hati kecil wanita tua ini berbicara. Hari itu dia bertemu dengan insan insan yang istimewa. Tiba tiba dia teringat kepada Bryan Anderson.

Selepas makan, dia membayar dengan sekeping wang USD100. Wanita tua sudah pun keluar dari restoran apabila pelayan tadi membawa wang baki. Pelayan yang dalam keadaan terpinga pinga itu, ternampak sapu tangan di atas meja yang tertulis sesuatu. Dia melihat dengan lebih dekat. Air mata tergenang di mata pelayan tersebut apabila membaca apa yang ditulis oleh wanita tua tadi:

             "Tiada apa yang perlu awak kembalikan kepada saya. Saya pernah berada dalam keadaan yang terdesak dan Tuhan telah menghantar seseorang untuk membantu. Saya hanya ingin memperpanjangkan kebaktian dan kasih sayang yang Tuhan pernah berikan kepada saya melalui insan lain. Ini untuk awak dan kalau awak ingin membayarnya balik, yang saya minta hanyalah - perpanjangkanlah rantaian kebaktian dan kasih sayang sesama insani...."

Di bawah sapu tangan tersebut ada empat keping wang USD100.

Hatinya tertanya tanya, bagaimana wanita itu tahu keadaan mereka yang memang sedang sangat terdesak wang dengan bayinya yang bakal lahir sebulan lagi.

Sampai di rumah, selepas menghabiskan kerja syif malam itu, suaminya sudah tertidur dengan wajah yang kelihatan sangat letih setelah bekerja mencari rezeki sepanjang hari sebagai seorang mekanik biasa di bengkel kereta. Dia membayangkan beban yang dipikul suaminya. Kerana itu dia sendiri gagahkan semangat untuk bekerja di restoran bagi meringankan bebanan rumah tangga mereka yang baru berusia setahun jagung dengan penuh kasih sayang. Dia mencium lembut pipi suaminya sambil berkata perlahan lahan:

             "Jangan risau, suamiku. Semuanya akan okey. Aku mencintaimu, Bryan Anderson."

Demikian satu kisah yang berlaku di satu daerah kecil di muka bumi ciptaan Allah. Allah yang Ar Raqib yang Maha Mengawasi dan Maha Memelihara hamba hambaNya tidak pernah terlepas pandang terhadap apapun. Dia yang Ar Raqib terserlah dalam kisah di atas. Bryan Anderson yang berhati mulia nampak keresahan pada wajah wanita tua yang dalam kesusahan lalu memperpanjangkan bakti dan kasih sayang walaupun dalam keadaan yang sangat terdesak. Ar Raqib mengawasinya dan memeliharanya. Bisikan di hati wanita tua ditiupkan semasa isterinya yang sarat mengandung memberi khidmat terbaik dalam tanggungjawabnya di restoran kecil sehingga hajat dan keperluan mereka terkabul. Semuanya bahagia memberi dan menerima.

Hiduplah semangat dan inspirasi Ar Raqib dengan memerhati, mengawasi dan memelihara orang lain bukan untuk mencari aib atau kesalahan tetapi untuk menjamin keselamatan dan kebahagiaan sesama insan.

Benarlah firman Allah yang bermaksud:

             "Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu (Raqib)." [An Nisa' : 1]

1 comment:

  1. Salam bahagia dr hamba..
    Masih ingatkah saudari akan diri ini?
    Apa2 pun,nice sharing.

    Istiqamah ya ngan penulisan,moga Allah kasihkan kak farah ya~

    ReplyDelete