Friday, March 11, 2011

Obviously a sign!

Sewaktu baca buku Pita Kusut Tentang Hati, saya tersentuh dengan hadis mursal dengan sabdaNya yang berbunyi :

"Ibnu Abi Dun-ya menyebutkan hadis mursal: Bahawa bumi pernah bergoncang pada masa Rasulullah SAW, lalu beliau meletakkan tangannya di atas bumi itu dan bersabda, "Diamlah, sesungguhnya belum datang waktunya untukmu (bergoncang), nanti." Kemudian baginda menoleh kepada sahabatnya dan bersabda, "Sesungguhnya Rabb kalian meminta kalian supaya mencela diri kalian sendiri, maka celalah diri kalian sendiri." Kemudian bumi bergoncang pada masa 'Umar Al Khattab R.A, lalu beliau menyeru, "Wahai manusia, goncangan ini hanyalah kerana sesuatu yang telah kalian lakukan. Demi Rabb yang jiwaku berada di tanganNya, jika goncangan itu kembali berlaku lagi, maka aku tidak menempatkan kalian di dalamnya selamanya."

Ka'ab berkata, "Bumi bergoncang hanyalah jika maksiat berlaku di dalamnya, lalu dia gementar takut kepada Rabbnya bila Dia melihat kepadanya.."1

Bumi bergetar kerana penghuninya tidak segan silu melakukan maksiat dan lalai daripadaNya. Bagaimanakah dengan kita?

Ayuh, sedarlah! Hisablah dan perbaikilah diri selagi berpeluang. Tidak selamanya kita di dunia ini. Apalagi yang melengahkan kita? 

Sesungguhnya setiap yang berlaku kepada sentiasa membawa mesej yang halus dariNya, seperti kata kata seorang sahabat saya:

Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud tertentu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian samada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita mula melatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam, hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu.

Moga Allah sudi mengampunkan kita dan mengurniakan rahmat dari sisiNya kepada kita. 
p/s: Doa dan sabar adalah senjata kita. Bersangka baiklah denganNya. :)

1. Hadis sahih, diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dun-ya dalam Dzammul Malahi, dari Anas R.A. Sahihul Jami' (no.5467)

No comments:

Post a Comment